Khamis, 19 Februari 2009

Itu aku


Aku, bongsu dari 7 bersaudara satu mak satu abah. Aku ada seorang abang berlainan abah.Kitorang panggil dia abang "pantuang". Nama betul dia Samsudin bin Sharif...tapi sekarang aku tak tau mana dia. Yang aku tau isteri dia Raja Zaiton(anakanda Raja Mamat, Kg Baru) dah meninggal, anak dia ramai tapi aku tak kenal kecuali sorang....Lina,isteri Abu Bakar penyanyi Raihan tu.

Abah dengan mak dah tak ada. Abah pergi dulu tahu 1987 pada usia 78 tahun, kemudian mak tahun 1994 pada usia 66 tahun. Aku?? Tak tahu, harap panjang umur macam mereka...

Aku ada 5 kakak dan sorang abang. Semua dah kahwin, dah ada anak..dan yang dah ada cucu pun. Aku membesar tatkala mak dengan abah aku dah tak ngam. Aku kecik dalam suasana "panas" sentiasa di rumah. Apa yang aku boleh buat, keluar cari kengkawan main, tak kiralah panjat pokok ke, main sungai cari ikan laga,ikan betuk ke, main konda kondi, main gelang getah,main tin,makan putik jambu,umbut kelapa dan apa sajalah janji aku tak duduk rumah. Mak ngan abah asyik gaduh aje.
Kawan aku 90% semuanya lelaki jadi aku pun jadi sikit tomboilah tapi taklah jadi boy terus. Aku tak pernah pakai dress, aku suka pakai seluar kecuali pergi sekolah pakai pinafore tapi mesti ada seluar short kat dlm. Dulu aku panjat pokok, mak aku kata nak tumbuh ekor panjatlah selalu...tapi aku tak peduli.
Mandi sungai (bukan sungai jernih tapi Sg Kelang sebelum ia tercemar seperti sekarang) cari ikan laga, mak aku kata nanti kalau nak tumbuh sisik duduklah dlm air tu lama-lama. Aku tak heran pun. Lepas tu aku kemaruk main gelang getah dan tin susu, mak aku tak marah cuma dia kata nanti dia nak kahwinkan aku dengan Cina getah kampung sebelah. Aku tanya balik, mak kahwin tu apa? Mak aku pitam....
Apa lagi yg aku tak buat, masuk lumpur, tangkap biawak jual kat Hindu. Curi oren topekong nyonya sebelah,(Dia cakap dengan mak tuhan dia makan oren tu...kesian nyonya tu) Tapi dia suka dengan aku, dia selalu panggil aku tapi masalah dia nak sebut nama aku susah jadi dia bagi nama aku Ah Kim maknanya "emas" dlm tionghua. Dia ada sekor anjing Alsatian yg besar dan sebab apek tu kerja pasar Pudu jadi makanan anjing tu daging mentah hari-hari. Yang aku tau anjing tu memang garang...
Satu hari aku merajuk dengan mak sebab tak nak bawak aku pergi pasar besar (sekarang Central Market) jadi aku pun kononya bawak diri belakang rumah. Aku nampak apek tengah potong kayu aku pun pergilah kat apek tu tapi aku tak nampak anjing dia, apa lagi........nnngggap bontot aku kena gigit dan dengan jerit pekik dan bontot sakit berdarah aku lari balik rumah, anjing tu kejar sampai depan pintu.
Kakak aku baru balik kerja tengah tidur kat atas rumah terperanjat tengok punggung aku berdarah terus pengsan...aku yang kena gigit cuma kena inject tapi kakak aku yang masuk wad aku pun tak tau kenapa...
Abah dulu banyak kambing, aku jadi tukang kira kambing tiap kali balik kandang. Kambing beranak aku jadi bidan bagi makan daun nangka utk ibu kambing yg baru beranak tu..(supaya ibu kambing tu banyak susu). Semua anak kambing aku ada nama. Mak cakap bau aku pun lebih kurang kambing juga. Tu pasal tiap kali mandi aku mesti kena berus dengan berus sabut yg coklat tu....oleh mak.
Siang aku sekolah, main dengan kengkawan...malam pulak aku pergi surau kampung, ngaji dari alif ba ta aku katam sehingga annas. Ustad aku cakap aku terang hati.....aku tanya dia nampak ke sinar kat dada aku, dia tak jawab tapi peha aku lebam kena cubit. Aku berguru dengan 3 orang ustad dan 5 orang ustazah. Aku katam 5 kali tapi pulut kuning dengan rendang mak aku buat sekali aje....tak aci betul.
Dulu mana ada karan(electricity) macam sekarang...malam mak aku pasang pelita yang ada gambar nyonya cantik tu(sampai sekarang nyonya tu cantik lagi) sangkut kat dinding. Bila nak buat kerja sekolah ambil pelita tu taruk depan muka, asap jgn ceritalah. Tak nampak tulisan besarkan api, sampai ada satu hari tu jambul aku terbakar. Besok pegi sekolah rambut dah jadi sulah, dahlah dahi jendul, nasib baik tak reti melawa lagi. Lepas tu barulah abah beli lampu minyak gas atau mak sebut lampu gasolin. Pukul 7 aje dah start pam....baru terang sikit dan tak ade asap lagi sebab dah gantung tinggi kat lelangit rumah.
1979-Org LLN(sekarang TNB) datang buat bancian dan terus masukkan karan (electricity) kat rumah aku. Wah rumah aku dah terang benderang sekarang. Masa ni aku dah masuk darjah 6. Dulu mana ada UPSR, aku penilaian darjah 5 aje, aku dapat 1A3B dan aku dengar mak aku cakap dengan Kak Lang aku masukkan aku asrama. Kat rumah dia tak boleh nak berapa belajar. Aku tak tahu itu memang alasan mak aku nak suruh aku belajar atau sebab tak bagi aku terjun sungai dan panjat pokok lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut